Powered By Blogger

Monday, February 23, 2015

TAJUK 1: ISU DAN CABARAN PENDIDIKAN SEMASA


PENGENALAN

ISU DAN CABARAN PENDIDIKAN SEMASA


Malaysia adalah sebuah negara yang memberi banyak penekanan kepada aspek pendidikan. Ini adalah kerana pendidikan adalah perlu bagi sesebuah negara untuk membangun dan mencapai kemajuan dan kecemerlangan. Kerajaan Malaysia telah berusaha untuk memberi penekanan kepada pendidikan ini melalui pembentukan beberapa dasar seperti Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Namun begitu dalam melaksanakan dasar-dasar ini kerajaan, sekolah dan guru telah menghadapi beberapa cabaran. Cabaran-cabaran ini adalah disebabkan oleh kerana Malaysia ialah negara berbilang kaum dan juga faktor perubahan yang begitu pantas di peringkat global.

Guru sebagai pelaksana utama dalam bidang pendidikan berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam aspek Integrasi Nasional, pendemokrasian pendidikan, kepelbagaian budaya, pengaruh TMK dan gejala sosial. Negara memerlukan guru yang komited, berdedikasi dan mampu berhadapan dengan semua cabaran tersebut.


INTERGRASI NASIONAL

Menurut Vyas (1993), integrasi nasional bermaksud ”Satu proses atau pun matlamat di mana semua penduduk dalam sesuatu wilayah tertentu hidup bersama selama-lamanya dan saling menghormati tanpa mengira agama, perbezaan etnik dan bahasa serta sudi berkongsi pengalaman, latar belakang, sejarah dan nilai.”

Isu-Isu Semasa dalam Integrasi Nasional

Malaysia terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik termasuk Melayu, Bumiputera, Cina dan India. Komposisi populasi sebegini telah menyumbang kepada perbezaan dari segi bahasa, seni, kebudayaan, dan kepercayaan dan agama yang mana merupakan cabaran yang besar bagi kerajaan untuk menyatupadukan semua kumpulan etnik tersebut. Kejadian tragedi 13 May 1969 jelas menunjukkan wujudnya prasangka dan konflik tentang integrasi nasional di negara kita. Perkara tersebut telah menyedarkan kerajaan tentang kepentingan untuk mewujudkan integrasi nasional di negara kita. Demi mengurangkan jurang sosio ekonomi antara kumpulan etnik yang berbeza dan mewujudkan hubungan yang harmoni dan bersatu di kalangan rakyat, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai polisi seperti Polisi Dasar Ekonomi Baru, Polisi Pendidikan Kebangsaan, dan Polisi Kebudayaan Kebangsaan. Pelaksanaan polisi-polisi tersebut dapat meningkatkan kefahaman Rukun Negara iaitu ideologi kebangsaan Malaysia. Rukun Negara tersebut telah dibentuk pada 31 Ogos 1970 oleh Majlis Gerakan Negara (Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, 2005).

Cabaran-Cabaran dalam Integrasi Nasional

Dalam proses mengintegrasikan kumpulan etnik yang pelbagai di negara kita, kerajaan mengalami berbagai-bagai halangan seperti berikut:
  • Perbezaan dalam agama dan budaya
  • Polisi pecah perintah British
  • Sistem pendidikan dan penggunaan bahasa pengantara yang berbeza di sekolah
  • Penglibatan sektor ekonomi berasaskan kumpulan etnik
  • Penempatan geografi yang berbeza berdasarkan sumber pendapatan kumpulan etnik
  • Parti politik berdasarkan kumpulan etnik
        Cara-Cara Menangani Isu-Isu Integrasi Nasional

      Pendidikan memainkan peranan yang penting dalam proses menyatukan semua kumpulan etnik di negara kita. Pendidikan dapat membentuk modal insan yang berkembang secara holistik dari segi jasmani, emosi, intelek dan rohani yang mana merupakan matlamat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Oleh itu, banyak langkah telah diambil oleh Kementerian Pelajaran untuk melahirkan generasi masa hadapan yang bersemangat patriotik, bertoleransi, progresif dan bersatu untuk menjadikan Malaysia negara yang cemerlang. Langkah-langkah yang dimaksudkan adalah seperti berikut:
     
Pelaksanaan sistem pendidikan kebangsaan yang menggunakan kurikulum dan penilaian yang sama di semua sekolah.
  • Memperkasakan Sekolah Kebangsaan untuk memupuk semangat bersatu dalam kalangan kumpulan etnik yang berbeza.
  • Mengasimilasikan nilai-nilai diri yang positif, nilai-nilai moral dan seni dalam semua mata pelajaran.
  • Memperkenalkan mata pelajaran sivik dan kewarganegraan di sekolah rendah dan sekolah menengah pada tahun 2003.
  • Memperkenalkan konsep Sekolah Wawasan.
Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP)

     Tiga jenis sekolah, iaitu SK / SRK, SRJK (C) dan SRJK (T) yang terlibat dalam rancangan ini. Objektif pelan ini adalah:

  •     Meningkatkan penyertaan pelajar dan guru dari ketiga-tiga jenis sekolah berkenaan dalam aktiviti-aktiviti khas.
  •    Menambahkan interaksi, persefahaman, kerjasama, muhibah dan toleransi pelajar daripada tiga jenis sekolah
  •    Penggunaan kemudahan dan peralatan tiga jenis sekolah bersama-sama secara maksimum.
Integrasi nasional boleh dicapai berdasarkan kepada aktiviti-aktiviti yang disediakan dalam modul yang merangkumi aspek-aspek yang disenaraikan di bawah:

  • Modul Aktiviti untuk kecemerlangan akademik
  • Modul Aktiviti untuk sukan dan permainan
  • Modul Aktiviti untuk ko-kurikulum
  • Modul Aktiviti untuk perkhidmatan sosial
  • Modul Aktiviti untuk meningkatkan semangat patriotik
Konsep 1 Malaysia

Konsep 1 Malaysia diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato' Sri Najib Tun Razak. Ini adalah salah satu langkah yang paling penting yang diambil oleh Perdana Menteri untuk memupuk perpaduan negara dan untuk membina hubungan yang rapat antara semua kumpulan etnik di Malaysia termasuk Sarawak dan Sabah. Menurut Laman web peribadi Perdana Menteri, 1 Malaysia adalah formula yang dikonsepsikan sebagai satu pra-syarat bagi memastikan aspirasi negara untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020 tercapai sekiranya konsep 1 Malaysia ini diterapkan dalam minda rakyat dan diamalkan oleh seluruh masyarakat. Jika idea "Bangsa Malaysia" yang ditimbulkan melalui Wawasan 2020 menjadi destinasi akhir, maka 1 Malaysia adalah hala tuju yang membimbing kita ke arah destinasi itu.



Terdapat lapan nilai murni yang diketengahkan dalam konsep 1 Malaysia, iaitu budaya cemerlang, ketabahan, rendah hati, penerimaan,kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti. Nilai penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti adalah faktor yang paling penting dalam pembangunan integrasi nasional. Penerimaan bermakna rakyat negara ini mesti dapat menerima kekuatan kumpulan etnik yang lain dan mampu untuk bersetuju dengan semua perkara untuk kebaikan negara ini. Kesetiaan adalah penting kerana semua rakyat Malaysia perlu taat setia kepada raja dan negara selain daripada membina amanah untuk meningkatkan hubungan antara kumpulan etnik yang berbeza. Meritokrasi merupakan satu elemen penting bagi sebuah negara demokratik di mana semua orang di negara ini layak diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam mana-mana bidang. Pendidikan akan memastikan nilai-nilai murni terpupuk di kalangan generasi masa depan di samping menjadikan mereka modal insan kelas pertama di negara ini. Lapan nilai tersebut berfungsi sebagai tunggak dalam mengintegrasi dan menyatukan semua rakyat Malaysia untuk mencapai wawasan 2020.



PENDEMOKRASIAN PENDIDIKAN 


Pendemokrasian pendidikan merujuk kepada kesamarataan peluang untuk semua orang yang mana melibatkan peruntukan kewangan dan bahan-bahan sumber yang besar, melibatkan pembangunan dasar yang direka untuk mengurangkan ketidaksamaan dari segi sosial dan ekonomi, di samping mengurangkan kos persekolahan seperti yuran dan kos bahan, melibatkan pembangunan kurikulum yang berkaitan dan kerja-kerja merangka prosedur pemilihan yang sesuai untuk peluang-peluang pendidikan di peringkat yang lebih tinggi (Kiyau, 1981). Menurut Dewey (1966) pendemokrasian pendidikan bermakna peluang yang disediakan untuk semua orang untuk berjaya dalam pendidikan dan menggunakan pendidikan sebagai alat utama untuk berjaya dalam hidup dan menikmati kualiti hidup yang lebih baik.

Isu-Isu Semasa dalam Pendemokrasian Pendidikan

Banyak langkah dan dasar telah dibuat oleh Kementerian Pelajaran untuk memastikan bahawa semua orang di negara ini mempunyai peluang pendidikan yang berkualiti secara percuma. Pada masa yang sama, kerajaan juga perlu memastikan bahawa pelajar-pelajar yang kurang upaya juga diajar berdasarkan sistem dan kurikulum yang sama dengan pelajar-pelajar normal. Usaha kerajaan untuk mencapai matlamat pendemokrasian pendidikan yang dinyatakan di dalam dasar pendidikan adalah seperti: pendidikan wajib dan percuma untuk sekolah rendah dan sekolah menengah, pelaksanaan sekolah-sekolah vernakular (SJK Cina dan SJK Tamil), sekolah teknik, sekolah berasrama, sekolah agama dan sekolah pendidikan khas. Sekolah kurang murid (SKM) adalah untuk memenuhi keperluan pelajar-pelajar dari kawasan-kawasan terpencil. Dalam usaha untuk menyediakan peluang kepada orang ramai untuk meneruskan pengajian mereka ke peringkat pengajian tinggi, kerajaan telah mewujudkan pendidikan atas talian, kolej-kolej dan universiti swasta. Selain itu, pelbagai program seperti Skim Bantuan Pendidikan, Skim Pinjaman Buku Teks dan Pelan Makanan Tambahan telah dilaksanakan untuk membantu pelajar daripada golongan berpendapatan rendah supaya mereka terus kekal dalam sistem pendidikan dan sentiasa sihat.

Cabaran-Cabaran dalam Pendemokrasian Pendidikan

Pelbagai cabaran telah dihadapi oleh kerajaan dalam melaksanakan pendemokrasian pendidikan. Kerajaan perlu memastikan bahawa pendidikan berkualiti diberikan kepada pelajar-pelajar tanpa mengira latar belakang etnik, status sosio-ekonomi, lokasi dan ekuiti. Pelajar-pelajar dari sekolah luar bandar harus mempunyai hak untuk menggunakan kemudahan dan infrastruktur yang sama seperti di sekolah-sekolah bandar. Pelajar-pelajar dari sekolah-sekolah luar bandar juga perlu diajar oleh guru-guru terlatih dan berkualiti bagi memudahkan mereka untuk pencapaian akademik yang cemerlang.

Peranan Guru dalam Pendemokrasian Pendidikan

Guru memainkan peranan dalam merealisasikan matlamat pendemokrasian pendidikan dengan memastikan peluang yang sama diberikan kepada semua pelajar tanpa mengira etnik, jantina, status sosioekonomi, latar belakang budaya, agama, dan kecerdasan supaya mereka dapat memperkembangkan potensi mereka secara maksimum dan mencapai kecemerlangan dalam akademik. Pada masa yang sama, guru-guru perlu adil dan saksama dalam semua aspek apabila berinteraksi dengan pelajar-pelajar daripada pelbagai kumpulan etnik.

TONGGAK PENDIDIKAN UNESCO

Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO) adalah salah satu agensi Bangsa-Bangsa Bersatu yang memainkan peranan untuk membawa keamanan, keselamatan dan keharmonian kepada dunia dengan menggalakkan kerjasama dalam bidang pendidikan, sains dan kebudayaan. Empat tonggak pendidikan seperti yang dinyatakan oleh UNESCO yang perlu dikuasai oleh pelajar-pelajar ialah: 

  • belajar untuk mengetahui
  • belajar untuk melakukan
  • belajar untuk menjadi apa
  • belajar untuk hidup bersama

Belajar Untuk Mengetahui

Belajar untuk mengetahui adalah salah satu alat yang penting dalam proses pembelajaran. Ia adalah satu alat kognitif di mana seseorang mesti memperoleh untuk memahami kerumitan persekitaran dan seterusnya memaksimumkan potensi kecemerlangan. Belajar untuk mengetahui juga sebagai keperluan asas yang dapat memudahkan pembelajaran pada masa depan. Seseorang juga mesti mengetahui orang di sekelilingnya melalui komunikasi dan interaksi yang mana akan membantu seseorang itu mencapai kejayaan dalam hidupnya. Belajar untuk mengetahui melibatkan proses pembelajaran untuk memperkembangan daya tumpuan, kemahiran mengingat dan keupayaan untuk berfikir. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, guru perlu merancang satu proses pembelajaran yang menyeronokkan, memupuk minat dan rasa ingin tahu pelajar untuk mencetuskan keinginan mereka untuk mendapatkan pengetahuan baru yang lebih mendalam. Selain itu, guru juga perlu memperkenalkan kemahiran-kemahiran untuk membantu pelajar memperoleh pengetahuan yang baru.

Belajar Untuk Melakukan

Belajar untuk melakukan bermaksud pendidikan mesti dapat melengkapkan seseorang dengan kemahiran yang penting yang mana akan membolehkan seseorang itu terus hidup dan mengambil bahagian dalam dunia global secara berkesan. Potensi seseorang akan digilap dalam proses pembelajaran sehingga seseorang dapat melakukannya perubahan kepada persekitarannya pada masa hadapan. Dalam erti kata lain, seseorang itu mampu untuk mencipta inovasi berdasarkan pengetahuan yang telah diperolehinya. Kompetensi personal dan profesional seperti kemahiran interpersonal, kemahiran berkomunikasi, kerja berpasukan dan kemahiran menyelesaikan masalah adalah faktor-faktor penting dalam menentukan Belajar Untuk Melakukan berhasil. Peranan pendidikan dalam Belajar Untuk Melakukan adalah untuk meningkatkan inisiatif individu dalam penyertaan pembangunan masa depan mereka yang berasaskan pengetahuan teoritikal dan praktikal. Peranan sekolah dan guru-guru adalah untuk memastikan pelajar dapat menguasai dengan baik kompetensi personal dan melakukan yang terbaik.

Belajar Untuk Menjadi Apa

Belajar Untuk Menjadi Apa menekankan bahawa pendidikan seharusnya mampu untuk membangunkan seseorang secara holistik dari segi fizikal, intelek, rohani, emosi dan estetik seperti yang dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pendidikan mesti menyediakan peluang untuk seseorang membangunkan potensi sepenuhnya supaya dia boleh berfikir dan menilai secara kritis dan bebas, dapat membuat keputusan yang terbaik, mengambil tindakan yang paling sesuai dalam kehidupan mereka dan seterusnya bertanggungjawab ke atas tindakan yang telah diambil. Tugas penting pendidikan adalah untuk memastikan bahawa semua orang menikmati kebebasan untuk berfikir, membuat pertimbangan yang wajar, kebebasan merasa dan membuat imaginasi untuk membangunkan bakat mereka dan seterusnya menentukan cara hidup mereka. Cabaran yang dihadapi oleh guru adalah untuk memastikan bahawa semua pelajar sentiasa dilengkapi dengan sumber-sumber personal dan alat intelektual yang diperlukan untuk memahami dunia dan bertindak sebagai seorang manusia yang bertanggungjawab dan adil. Keadaan begini boleh ditingkatkan melalui kerja berkumpulan, pembelajaran berasaskan masalah dan pembelajaran berasaskan projek.

Belajar Untuk Hidup Bersama

Belajar untuk hidup bersama adalah satu lagi tonggak penting erana tiada siapa yang boleh hidup bersendirian di dunia ini. Pendidikan perlu menyedarkan individu tentang kepentingan kedamaian di dunia. Individu mesti diberi pendedahan tentang nilai-nilai hak asasi manusia, prinsip-prinsip demokrasi, memahami dan menghormati kepelbagaian sosio budaya, toleransi dan memupuk keamanan dalam masyarakat dan menjalin hubungan sesama manusia tanpa mengira perbezaan latar belakang supaya semua manusia sentiasa hidup dalam keadaan aman dan harmoni. Sekolah dan guru-guru perlu mengajar dan menggalakkan para pelajar untuk mengelakkan konflik dan menyelesaikan masalah dengan cara yang aman. Dua elemen yang perlu diajar kepada pelajar-pelajar di dalam proses Belajar Untuk Hidup adalah untuk memahami perbezaan individu dan bekerjasama dengan orang lain ke arah matlamat yang sama.

Cabaran kepada guru

Dalam proses mencapai matlamat empat tonggak pendidikan seperti mana yang digariskan dalam UNESCO, sekolah dan guru-guru menghadapi cabaran yang besar kerana mereka perlu memastikan bahawa proses pendidikan dapat memberikan peluang kepada individu untuk meneroka, bergaul dan berinteraksi dengan orang-orang dari latar belakang yang berbeza sejak peringkat awal lagi. Individu mesti sedar, memahami dan menghormati perbezaan jantina, etnik, status sosio-ekonomi, intelektual, kepercayaan dan agama.

Cara guru menangani cabaran

Guru-guru perlu menekankan kepentingan toleransi dan bekerjasama dengan orang lain demi mencapai keamanan dan keharmonian dalam kehidupan setiap hari. Di samping itu, pendidikan juga harus membangunkan individu secara holistik yang mempunyai kemahiran dan kecekapan yang membolehkan individu terus hidup di dunia global yang penuh dengan cabaran.

GLOBALISASI DALAM PENDIDIKAN 

Globalisasi merujuk kepada proses yang membolehkan pasaran kewangan dan pelaburan untuk beroperasi di peringkat antarabangsa, sebahagian besarnya adalah hasil daripada pembatalan kawal selia dan peningkatan komunikasi secara berkesan (Collin kamus, 2013). Menurut Financial Time Lexicon (2013), globalisasi menerangkan proses di mana ekonomi serantau dan negara, masyarakat dan budaya telah menjadi bersepadu melalui rangkaian perdagangan global, komunikasi, imigresen dan pengangkutan.

Globalisasi juga menyediakan platform untuk semua orang tanpa mengira bangsa, kaum, warna kulit, status dan latar belakang untuk bersaing secara adil dalam mana-mana bidang. Globalisasi telah membawa kedua-dua kesan positif dan negatif dalam banyak aspek kehidupan kita terutamanya pendidikan. Ini kerana pendidikan adalah salah satu bidang yang banyak dipengaruhi oleh persekitaran dan perlu menyesuaikan diri dengan perubahan pesat di seluruh dunia.

Isu-Isu Semasa dalam Globalisasi Pendidikan

Impak globalisasi terhadap sektor pendidikan adalah seperti berikut:

  • Penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu dan bahasa antarabangsa.
  • Pendidikan di negara ini terbuka kepada dunia luar di mana universiti-universiti asing dibenarkan untuk menubuhkan cawangan mereka di sini.
  • Peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi akan meningkat apabila banyak kolej swasta dan universiti telah ditubuhkan.
  • Penekanan dalam penilaian dan penggunaan teknologi komunikasi maklumat (TMK) dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
  • Internet sebagai sumber maklumat dan komunikasi.
  • Peranan guru-guru di dalam kelas lebih kepada pemudah cara.
  • Guru perlu celik ICT dalam menjalankan kerja-kerja pentadbiran.
  • Pelajar-pelajar kita mampu bersaing dalam pasaran buruh global.
  • Persaingan yang adil di kalangan institusi pengajian tinggi.
  • Pembelajaran sepanjang hayat boleh dicapai dengan peluang pembelajaran yang disediakan.
  • Perkongsian pengetahuan terutamanya penemuan baru hasil kajian yang dilakukan di seluruh dunia.
  • Membolehkan pencapaian matlamat pendemokrasian pendidikan apabila setiap orang diberi peluang pendidikan.

Cara-cara Menangani Globalisasi dalam Pendidikan

Kesan globalisasi kepada pendidikan telah mencabar proses pelaksanaan sistem pendidikan di Malaysia kerana kita perlu menyesuaikan diri dan mengikuti trend di seluruh dunia supaya dapat bersaing di peringkat antarabangsa. Cabaran-cabaran yang dihadapi adalah seperti berikut:
  • Keperluan untuk mengamalkan pembelajaran berterusan
  • Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi
  • Pentadbiran pendidikan
  • Pembangunan identiti pelajar
  • Kualiti Guru
  • Keperluan untuk mengubah kurikulum selaras dengan peluang globalisasi
  • Guru-guru tidak bersedia dengan perubahan terutamanya dalam aspek penggunaan ICT dalam proses pengajaran
  • Peningkatan dalam beban kerja
  • Sikap guru dalam pengajaran di zaman global
  • Perubahan yang pesat dalam pendidikan akibat globalisasi
  • Pengaruh negatif kepada identiti pelajar
  • Budaya sekolah tidak menyokong peluang pembelajaran cara global
Cara-Cara Menangani Globalisasi dalam Pendidikan

Sekolah dan guru-guru bertanggungjawab dalam menghasilkan pelajar-pelajar yang mampu untuk bersaing dalam era globalisasi ini. Pelajar perlu mengamalkan budaya pembelajaran sepanjang hayat dan pembelajaran yang berterusan bagi membolehkan mereka terus berada dalam perubahan yang pesat ini. Guru-guru perlu melengkapkan pelajar dengan keupayaan untuk berkomunikasi secara lisan dan dalam bentuk bertulis dengan menggunakan bahasa antarabangsa seperti Bahasa Inggeris supaya mereka dapat berinteraksi dan berkomunikasi di peringkat antarabangsa. Untuk melibatkan diri secara global, pelajar perlu menguasai kemahiran TMK kerana TMK adalah satu bidang yang pesat berubah. Sekolah dan guru-guru perlu memastikan bahawa kurikulum masa kini membolehkan pelajar menguasai kemahiran kognitif yang berguna dalam menyelesaikan tugas-tugas yang kompleks dan mencabar, di samping menyelesaikan masalah serta menjana pengetahuan baru untuk inovasi. Selain itu, adalah menjadi tanggungjawab guru untuk menekankan aspek etika dan moral serta menyedari kesan negatif penggunakan ICT dalam zaman globalisasi ini.


KEPELBAGAIAN BUDAYA

Malaysia adalah merupakan sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, ataupun masyarakat majmuk, yang terdiridaripada bangsa utama iaitu bangsa Melayu, Cina dan India. Kepelbagaian Budaya pula merujuk kepada kepelbagaian adat dan budaya dalam sesebuah masyarakat yang mempunyai pelbagai etnik dan kaum. Stavenhagen (1986) berpendapat kepelbagaian budaya merupakan rangkuman dari pelbagai aspek yang meliputi budaya, etnik, agama, amalan tradisi yang mengarah kepada kecenderungan dan memberi kefahaman di antara sesama kaum.

Kepelbagaian Budaya menurut Kymlicka (1999) pula adalah merujuk kepada kepelbagaian yang wujud dalam sesebuah masyarakat yang memberi tumpuan kepada tiga perspektif seperti berikut:


  • Perspektif Universal (memahami fenomena perubahan setiap masyarakat secara universal)
  • Perspektif Etnik (mengkaji permasalahan dan konflik setiap etnik)
  • Perspektif Budaya (mengkaji cara bagaimana setiap etnik mengekspresikan budaya mereka).
Isu Pendidikan Semasa

Fenomena kepelbagaian budaya dalam situasi di sekolah negara kita telah membawa pelbagai implikasi kepada proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah, khasnya kepada pelajar.

Implikasi Kepelbagaian Budaya Kepada Pelajar : 

Positif 
  • Berpeluang mempelajari kepelbagaian budaya 
  • Membentuk interaksi sosial yang baik 
  • Memperkembangkan bakat 
Negatif 
  • Mempunyai masalah dalam kerja kumpulan 
  • Masalah komunikasi dan bahasa 
  • Sukar mewujudkan persefahaman 
  • Wujud perasaan rendah diri dan tidak yakin pada diri sendiri

Cabaran Kepada Guru

Dalam hal ini, guru mesti memiliki rasa kesungguhan dan penghayatan yang mendalam ketika melaksanakan upacara/program untuk menangani isu kepelbagaian budaya yang dianjurkan oleh pihak kementerian pelajaran/sekolah sehingga boleh menjadi role model kepada para murid di sekolah.
Antara cabaran kepada guru dalam menangani isu kepelbagaian budaya di sekolah ialah meningkatkan kesedaran pelajar. Kesedaran yang hendak diterapkan dalam pemikiran pelajar berbilang kaum di Malaysia ialah bagaimana :

i. menerima dan menghargai identiti setiap kaum.
ii. menghormati perbezaan budaya yang wujud (nilai, adat resam dan cara hidup).
iii. menghargai keunikan budaya.
iv. mempunyai kemahuan untuk berkongsi persamaan, sedia bekerjasama.
v. bersekutu memajukan bangsa.

Cara Menangani Isu Kepelbagaian Budaya

Jika membincangkan kepelbagaian budaya adalah sangat penting mengaitkannya dengan Integrasi nasional. Justeru pemahaman integrasi nasional merupakan inti pati kepada keperluan perpaduan negara. Integrasi Nasional dalam merujuk kepada Husein Ahmad (2000) dan Zakaria Abd Wahab (2000) yang merujuk makna integrasi nasional sebagai sesebuah masyarakat yang bersatu padu yang bercirikan persefahaman budaya, interaksi sosial, boleh bertoleransi antara kaum, memahami serta mengiktiraf persamaan dan perbezaan antara kaum. Ciri-ciri ini adalah merupakan satu asas bagi menentukan wujudnya integrasi nasional bagi membentuk identiti bangsa Malaysia.

Antara cara-cara yang boleh dilaksanakan oleh guru untuk mengatasi masalah kepelbagaian budaya adalah seperti berikut :


  • Guru hendaklah mengambil daya usaha untuk menunjukkan kemesraan
  • Guru hendaklah bersedia melayani murid-murid mengikut kebolehan dan sifat mereka yang berlainan.
  • Memberi pendedahan murid-murid terhadap kepelbagaian sosio budaya
  • Mempelbagaikan kaedah pengajaran
  • Menggalakkan aktiviti yang melibatkan penglibatan semua murid
  • Menghormati dan memahami keadaan sosial murid-murid
  • Guru hendaklah mengadakan suasana demokratik dalam kelas

Pengaruh Perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi

Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi telah banyak

mempengaruhi budaya kehidupan masa kini, khususnya dalam bidang

pendidikan. Pengaplikasian teknologi ini dalam pengajaran dan

pembelajaran memberikan satu anjakan baru dalam teknik pedagogi guru.
Penggunaan teknologi telah dapat merevolusikan teknik pengajaran guru, kaedah murid belajar dan secara keseluruhannya cara pendidikan dikendalikan sesuai dengan era masa kini.

Isu Pendidikan Semasa

Andaian umum yang menyatakan bahawa sekiranya perkakasan dan perisian telah tersedia di sekolah, pengintegrasian teknologi maklumat akan berlaku secara automatik adalah kurang tepat kerana salah satu penentu utama kejayaan atau kegagalan pengintegrasiannya adalah guru. Sejauh manakah guru masa kini dapat menerima cabaran untuk mengaplikasikan teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan?
Pengaruh TMK melalui internet juga telah memberi pendedahan kepada pelajar tentang pemerolehan sumber maklumat alternatif seperti perpustakaan maya selain buku teks atau mengunjungi perpustakaan. Jika pelajar dididik untuk menggunakan internet secara berkesan, para guru berupaya melahirkan satu genarasi yang dinamik dan progresif kerana dilengkapi dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang terkini.

Cabaran Kepada Guru

Cabaran yang dihadapi oleh guru-guru dalam mengintegrasikan teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran ini boleh dilihat daripada kesediaan guru yang meliputi tiga aspek iaitu tahap kemahiran, pengetahuan dan sikap.

Kemahiran Teknologi Maklumat Guru

Sejajar dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan modal insan yang berkualiti, guru merupakan agen perubahan yang penting. Oleh itu, penguasaan teknologi maklumat dalam kalangan guru adalah dituntut. Ia penting bukan sahaja untuk meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran malah daripada aspek pentadbiran dan pengurusan sekolah. Oleh itu, langkah-langkah seperti bengkel dan kursus berkaitan teknologi maklumat giat dijalankan untuk memantapkan guru-guru khususnya dalam aspek berkaitan teknologi maklumat. Guru mesti bersedia untuk memikul cabaran ini.

Sikap Guru Terhadap Teknologi Maklumat dalam Pengajaran dan Pembelajaran

Sikap adalah sesuatu gambaran dalaman individu yang merujuk kepada kecenderungan untuk berkelakuan positif atau negatif terhadap benda, situasi, institusi, konsep atau individu lain. Beberapa tinjauan literatur lepas telah menunjukkan bahawa wujudnya perkaitan yang rapat antara sikap dengan penggunaan teknologi maklumat dengan pengajaran dalam bilik darjah (Mohamad Nabzrim & Mohamad Nayan, 1997; Adenan, 1999; Krishnan et al., 2007). Oleh itu, guru-guru khasnya mereka yang telah berada dalam zon selesa perlu mengubah sikap terhadap perkembangan TMK supaya lebih kerap menggunakan TMK dalam bilik darjah.

Perisian Penyampaian Teknologi Maklumat

Perisian penyampaian teknologi maklumat adalah dianggap sebagai satu alat yang dapat membantu guru-guru dalam pengajaran dan pembelajaran serta tugas lain. Menurut Chao et al. (2003), seseorang guru yang kompeten sekurang-kurangnya menguasai kemahiran asas menggunakan komputer, berkemahiran menggunakan perisian pemproses kata, perisian pangkalan data, perisian hamparan elektronik, perisian berkaitan statistik, grafik, menggunakan teknologi Internet, laman web serta pengetahuan bagaimana komputer berfungsi. Tetapi sejauh manakah guru-guru dapat menguasai kemahiran-kemahiran asas tersebut?

Mendidik Pelajar Menggunakan Internet Secara Berkesan

Selain cabaran dari segi kemahiran, pengetahuan dan sikap guru, guru juga menghadapi cabaran bagaimana hendak mendidik generasi muda menggunakan internet secara berkesan. Adalah menjadi tanggungjawab guru untuk memastikan kanak-kanak tidak terdedah kepada pengaruh negatif internet.

Kesimpulannya, selain kemahiran alatan produktiviti iaitu pemprosesan perkataan, hamparan elektronik, persembahan, pangkalan data dan Internet, tumpuan kursus dan latihan perlu ke arah kemahiran lain seperti kemahiran mencari dan memilih maklumat daripada Internet, pembinaan laman web dan juga mengarang perisian kursus pendidikan yang sesuai dengan pengajaran subjek.
Akhir sekali, yang lebih penting adalah kebolehan untuk menyebatikan kemahiran-kemahiran tersebut dalam pengajaran dan pembelajaran. Ini kerana matlamat kita adalah untuk menggunakan teknologi komputer dalam pendidikan secara am dan dalam pengajaran dan pembelajaran secara khusus. Namun begitu, harus diingat bahawa teknologi hanya merupakan alat bantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran, ia tidak akan dapat menggantikan kedudukan guru dalam erti kata yang luas. Pendidikan hari ini adalah untuk kecemerlangan masa hadapan.

Cara Menangani Isu Pengaruh Perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi

Usaha Kementerian Pelajaran tidak akan berjaya jika para guru tidak dibudayakan sepenuhnya akan penggunaan komputer dan TMK. Pengalaman di negara maju menunjukkan lima keperluan perlu ada jika Kementerian Pelajaran ingin meningkatkan pendedahan dan penerimaan guru kepada teknologi maklumat dan komunikasi. Keperluan itu ialah:
  • sikap guru dan pelajar mestilah positif dan bersedia untuk berubah.
  • prasarana komputer dan rangkaian komunikasi mestilah lengkap dan mencukupi.
  • tenaga yang terlibat untuk memperkenal dan memperluaskan teknologi maklumat mestilah mahir.
  • peruntukan wang mestilah mencukupi untuk menggerakkan perkembangan TMK.
  • hubungan interpersonal yang kuat antara guru dan pelajar.

GEJALA SOSIAL

Gejala sosial merupakan fenomena modenisasi dan kejutan budaya yang melanda golongan remaja dan belia. Pada zaman remaja, seseorang itu berdepan dengan satu siri krisis identiti iaitu pembentukan dan pengembangan identiti diri. Kegagalan untuk mengatasi cabaran itu
membuatkan remaja mengalami krisis kekeliruan. Krisis kekeliruan yang menguasai diri remaja jika tidak dibendung dan di atasi boleh menyebabkan gejala sosial. Fenomena ini merupakan salah satu daripada ancaman kepada sumber tenaga manusia yang boleh merugikan negara dalam jangka masa panjang. Oleh itu, segala masalah sosial yang dihadapi oleh para remaja harus dibendung dan diatasi supaya ia tidak terus mewujudkan ancaman besar terhadap pembangunan dan kemajuan negara.

Gejala sosial adalah sesuatu yang merangkumi pelbagai tingkah laku negatif di dalam anggota masyarakat yang tidak memberikan faedah kepada kekuatan sistem dan struktur ekonomi yang diamalkan oleh sesuatu masyarakat, komuniti ataupun negara. Banyak faktor yang mendorong remaja pada masa kini terlibat dalam gejala sosial yang kurang sihat ini. Menurut Abd. Rahim (2006), penglibatan remaja dalam pelbagai gejala sosial berpunca daripada beberapa faktor; antaranya ialah faktor dalaman diri remaja itu sendiri iaitu dari aspek perkembangan personaliti, kegagalan fungsi institusi keluarga dan juga pengaruh rakan sebaya. Zainal dan Sharani (2004) pula menyatakan pengaruh persekitaran di sekolah juga menjadi punca keruntuhan akhlak di kalangan remaja.

Isu Pendidikan Semasa

Pada masa kini, tingkah laku golongan pelajar dan remaja khususnya semakin mencabar dengan pelbagai masalah. Keruntuhan moral dalam kalangan pelajar sekolah digambarkan menerusi perlakuan seks bebas, kehamilan luar nikah, pembuangan bayi, kesalahan juvana, penagihan dadah, pembakaran sekolah dan sebagainya semakin meningkat. Kadar penglibatan remaja dalam masalah sosial yang semakin serius ini semuanya berpunca dari beberapa faktor dalaman dan luaran, antaranya ialah:
  • Faktor Ekologi Keluarga
  • Faktor Ekologi Sekolah
  • Rakan Sebaya
  • Media massa/Internet
  • Modenisasi.
Gejala sosial bukanlah suatu penyakit yang biasa, tetapi ia sudah menjadi kudis yang semakin bernanah dalam masyarakat. Jika tidak ditangani dengan segera, gejala sosial ini akan menjadi semakin sukar untuk diubati. Semua pihak haruslah bekerjasama untuk mengatasi gejala sosial ini. Guru khusunya memainkan peranan yang penting dalam mencorakkan masa depan anak-anak muda supaya menjadi remaja dan belia yang menyumbang kepada kemajuan negara.

Cabaran Kepada Guru

Sejauh manakah para guru bersedia menghadapi cabaran gejala sosial di kalangan anak murid mereka? Para guru berperanan mengawal pelajar mereka daripada melakukan gejala sosial. Secara dekat para guru perlu mendampingi setiap pelajar dan memahami permasalahan mereka. Para guru harus peka dan bersikap terbuka serta sentiasa memberikan dorongan kepada pelajar mereka dan ini akan membuka ruang bagi para pelajar untuk membincangkan dan berkongsi masalah yang dihadapi oleh mereka. Di samping itu, disiplin sekolah perlu diketatkan. Hubungan erat antara para guru dengan ibu bapa pelajar perlu ditingkatkan. Pihak sekolah juga boleh memberikan kaunseling kepada pelajar yang bermasalah agar pelajar tersebut tidak berasa dirinya dipinggirkan. Semua usaha yang disebutkan di atas bukanlah perkara yang mudah untuk dilakukan tetapi memerlukan kasih sayang dan kesabaran yang amat tinggi daripada insan yang digelar guru.

Cara Menangani Isu Gejala Sosial

Dengan itu, cara-cara untuk menangani gejala sosial dapat dirumuskan seperti berikut:

Peranan Ibu Bapa
  • mendidik dan mengasuh anak-anak mereka dengan cara yang betul
  • meluangkan lebih masa bersama anak-anak mereka
  • mengamalkan nilai-nilai agama
Peranan Guru
  • merancang pengajaran dengan mengambil kira perbezaan individu pelajar
  • mempelbagaikan strategi dan aktiviti dalam proses pengajaran dan pembelajaran supaya menarik minat murid
  • mengaplikasi kemahiran kaunseling dalam proses perbincangan dengan murid yang bermasalah
  • memupuk nilai-nilai murni
Peranan Rakan Sebaya
  • menjadi role model
  • memberi motivasi
  • medengar dan memberi sokongan
Peranan Diri Sendiri
  • mengubah sikap negatif
  • yakin bahawa mereka mampu melakukan perubahan
  • dekatkan diri dengan Tuhan
Peranan Polis
  • penguatkuasaan undang-undang


Rujukan

Department of National Unity and National Integration. (2005). Retrieved from http:// www.jpnin.gov.my/en/isytihar_krn

Dewey, J. (1996). Democracy and education. Retrieved from http:// www.gutenberg.org/files/852/852-h/852-h.htm

Financial Times Lexicon. (2013). Globalisation Definition from Financial Times Lexicon. Retrieved from :http://lexicon.ft.com/term?term=globalisation

Kiyao, R. (1981). Democratization of education: A Tanzania case. Retrieved from http:// unesdoc.unesco.org/images/0004/000466/046603EB.pdf Collin Dictionary. (2013). 

Vyas, M. K. (1993). National integration and the law: Burning issues and challenges. New Delhi: Deep & Deep Publications.




     



   

No comments:

Post a Comment